Politeknik Mukah perlu peralatan dan mesin baharu

Mansor (duduk tujuh dari kiri) merakamkan gambar bersama pegawai agensi-agensi Persekutuan Sarawak.

MUKAH, Julai 6: Politeknik Mukah (PMU) telah menerima program lawatan kualiti agensi-agensi Persekutuan Sarawak yang diketuai oleh Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, Datuk Mansor Man.

Program lawatan kerja itu adalah bertujuan dan membantu institusi dalam meningkatkan perkhidmatan serta menolong memohon bajet untuk membaiki infrustuktur yang uzur.

Taklimat memaklumkan bahawa banyak peralatan di bengkel-bengkel dan makmal-makmal yang lama serta usang tidak dapat digunakan dalam sistem pembelajaran dan pengajaran memandangkan ianya ketinggalan berbanding peralatan dengan teknologi di pasaran masa kini.


Pihak MAMPU telah mengurus setia program Lawatan Kualiti yang turut disertai oleh Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan antaranya Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak, INTAN Sarawak, Jabatan Akauntan Negara Cawangan Sibu, Biro Pengaduan Awam Sarawak, Polis Diraja Malaysia Sarawak, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Jabatan Pendidikan Sarawak Cawangan Mukah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sibu, Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Jabatan Audit Negara Negeri Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan Cawangan Mukah dan Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak.

Pengarah Politeknik Mukah, Abdurani Yunus dalam ucapan aluan amat berterima kasih kerana memilih PMU untuk dilawati.

Katanya, beliau bmenjemput semua delegasi untuk melawat bengkel-bengkel dan makmal-makmal untuk melihat sendiri mesin-mesin serta peralatan-peralatan yang digunakan.

Antara lain ujarnya, premis PMU yang diduduki sejak tahun 2005 lalu mempunyai infrustuktur yang usang dan banyak peralatan yang lama serta rosak.

“Dalam semester Jun 2018, seramai 714 orang pelajar baharu telah mendaftar berbanding norma 640 orang menjadikan jumlah keseluruhan 3,000 orang pelajar dalam kampus.

“Seramai 2,400 orang juga telah memohon masuk, namun PMU mempunyai kekosongan yang amat terhad,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Mansor telah memberi jaminan akan membantu PMU untuk menyuarakan kekurangan demi meningkatkan perkhidmatan dan peralatan-peralatan di bengkel-bengkel dan juga makmal-makmal yang uzur.

Jelasnya, beliau mengakui bahawa terdapat peralatan-peralatan dan mesin-mesin terbaharu amat diperlukan.

“Ini penting seiring dengan perkembangan teknologi di pasaran supaya pelajar-pelajar graduan mudah menggunakannya serta mampu bersaing dengan institusi-institusi swasta lain,” katanya. — DayakDaily