Avanza rempuh Avanza, seorang lelaki temui ajal

Kelihatan keadaan lokasi kejadian membabitkan dua buah Toyota Avanza.

BINTULU, Julai 6: Seorang lelaki maut selepas Toyota Avanza yang dipandunya merempuh belakang sebuah lagi kenderaan sama jenis di persimpangan lampu isyarat Jalan Bintulu-Tanjung Kidurong di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, mangsa, Zaini Omar, 45, dari Bandar Baru Permyjaya, Miri disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan ke arah Kidurong.


Bagaimanapun katanya, apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, Toyota Avanza yang dipandu tiba-tiba merempuh belakang sebuah lagi Toyota Avanza di laluan berkenaan.

“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan dalaman.

“Manakala, seorang wanita berusia 26 tahun yang memandu sebuah lagi Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada pemandu wanita itu untuk membantu siasatan.

Katanya, gambar lokasi juga sudah diambil pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily