Polis Sarawak serius pantau isu sensitif babitkan raja, agama dan kaum

Mohd Azman bercakap dalam sidang media tersebut.

KUCHING, 24 Nov: Polis Sarawak memberi amaran tegas kepada orang ramai agar tidak menyebarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegusaran atau mengugat kenteraman awam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut terutama pengguna media sosial yang membuat hantaran, pemanjangan apa-apa bentuk teks, video atau audio yang membabitkan institusi raja, agama dan kaum.

“Perbuatan menyebarkan kenyataan yang membabitkan hasutan, fitnah, penghinaan, perkataan jelek, lucah dan sebagainya adalah dikategorikan ‘hate content’ iaitu kadungan mengandungi kebencian yang boleh mendatangkan kegusaran awam atau mengugat ketenteraman awam.


“Justeru, pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Tegasnya, tindakan akan diambil di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Menurutnya juga, Polis Sarawak melancarkan 35 sekatan jalan raya di lokasi-lokasi strategik di setiap daerah di seluruh Sarawak secara penugasan 24 jam bermula 22 November.

“Sekatan jalan raya ini adalah satu usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Katanya juga, polis Sarawak sentiasa bersiap sedia memastikan kententeram awam sentiasa terjamin dalam tempoh Pasca Pilihan Raya Umum ke-15.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan cuba mengancam keselamatan negara.

“Polis Sarawak memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di negeri Sarawak adalah terkawal,” katanya. — DayakDaily