Polis Sarawak kenalpasti tiada kawasan ‘panas’ ketika PRU14

Amer (kanan) bersalam dengan anggota polis di IPD Limbang.

LIMBANG, Mac 7: Polis Sarawak menjangkakan tiada kawasan ‘panas’ atau kawasan yang boleh berlaku ketegangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal berkata, berdasarkan risikan yang dibuat sebelum ini, pihaknya mendapati tiada kawasan ‘panas’ di negeri ini.

Menurutnya, beliau turut sangat berpuas hati dengan persiapan polis Sarawak untuk menghadapi PRU14.


“Kita telah memuktamadkan jumlah pegawai dan anggota yang akan bertugas sepanjang PRU14 kelak.

“Seramai 7,017 pegawai dan anggota sudah disiapsiagakan dengan kursus serta latihan yang berkaitan undang-undang umum dan peraturan pilihan raya,” katanya ketika sidang akhbar semasa melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amer menegaskan, meskipun tarikh PRU14 belum diketahui, beliau memberi jaminan polis Sarawak sentiasa bersiapsiaga untuk tujuan itu.

“Polis Sarawak sentiasa bersiap sedia dalam apa jua bentuk tugas termasuk berdepan dengan PRU14,” katanya lagi. — DayakDaily