Maxxius harumkan nama Sarawak di pentas sukan antarabangsa

Maxxius (tengah) merakamkan gambar bersama guru dan pelajar SMK Seri Patiambun, Limbang.

LIMBANG, Mac 7: Seorang atlet dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Patiambun Limbang, Maxxius Philip yang mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas sukan antarabangsa dalam kejohanan ‘Athletica Western Australia Track and Field Championship Perth Australia’ disambut meriah sebagai wira di sekolah berkenaan hari ini.

Warga sekolah berkenaan telah menyambut ketibaan wira negara itu selepas Maxxius berentap dalam sukan peringkat antarabangsa pada Mac 2 hingga 4 lalu.

Dalam kejohanan antarabangsa selama dua hari itu, Maxxius berjaya merangkul satu pingat emas dalam acara 100 meter lari berpagar.


Pingat emas dan perak yang dimenangi Maxxius.

Pelajar Tingkatan Tiga itu turut memenangi pingat perak dalam acara 300 meter lari berpagar pada kejohanan sama.

Sementara itu, Maxxius berkata, kejayaan yang dicapainya bukan milik dia sendiri tapi milik semua pihak yang menyokong selama ini.

“Tanpa ada sokongan jurulatih, sekolah khususnya Kementerian Pendidikan yang memberi sokongan, saya mungkin tidak mampu mencapai kejayaan ini.

“Saya bertekad untuk terus berusaha gigih dan menggandakan latihan bagi memastikan prestasi ini kekal untuk mengharungi kejohanan lain kelak,” katanya lagi. — DayakDaily