Orang ramai diminta memohon kebenaran sebelum mengambil gambar penjaja

Chan berucap semasa majlis Sesi Dialog dengan Jawatankuasa Perhubungan Penjaja di Bangunan Ibupejabat MBKS.

KUCHING, Mac 7: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) tidak akan melarang orang ramai dan pelancong yang berkunjung ke enam pasar dan sembilan pusat penjajanya di bandaraya ini dari mengambil gambar di tempat itu tetapi meminta mereka sebolehnya terlebih dahulu mendapatkan kebenaran penjaja di sana sekiranya mahu mengambil gambar mereka.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Chan berkata pihaknya ada menerima aduan dari penjaja pasar dan pusat penjaja itu yang merasa kurang selesa berniaga apabila orang ramai semakin kerap mengambil gambar mereka tanpa meminta kebenaran dan kemudian memuat naik gambar tersebut di laman sosial.

“Kemungkinan ini perbuatan kalangan pelanggan yang gemar bermain dengan laman sosial dan turut mengambil gambar penjaja terbabit setiap kali ke pasar atau pusat penjaja itu. Bagaimanapun ada penjaja yang tidak menyukai perbuatan tersebut kerana merasakan privasi mereka telah diceroboh.

“Jadi kami meminta sebolehnya orang ramai dan pelancong meminta kebenaran dari penjaja terlebih dahulu sekiranya mahu mengambil gambar mereka,” katanya selepas mempengerusikan Sesi Dialog dengan Jawatankuasa Perhubungan Penjaja di Bangunan Ibupejabat MBKS, di sini, hari ini.

Dialog berkenaan telah dihadiri sekitar seramai 50 penjaja dari Persatuan Penjaja Bandaraya Kuching Selatan dan Persatuan Penjaja Kecilan Kuching dan Samarahan serta Jawatankuasa Perhubungan Penjaja di pasar dan pusat penjaja MBKS.

Chan berkata ini bukan bermakna orang ramai tidak dibenarkan mengambil gambar penjaja di pasar dan pusat penjaja dibawah MBKS di bandaraya kerana premis terbabit adalah tempat awam, ditambah ketika ini ramai warga bandaraya ini termasuk pelancong memiliki telefon bimbit yang ada kamera.

“Jadi boleh mengambil gambar (di pasar dan pusat penjaja dibawah MBKS) tetapi sekiranya mahu mengambil gambar penjaja, sebaiknya mendapatkan dahulu kebenaran mereka. Ketika saya di luar negara, penjaja di sana juga tidak mahu gambar mereka diambil, tetapi setelah saya meminta kebenaran, biasa mereka membenarkannya,” katanya.

Beliau sehubungan itu bersetuju dengan cadangan penjaja yang menghadiri sesi dialog terbabit supaya membenarkan mereka mempamerkan papan tanda meminta orang ramai terlebih dahulu mendapatkan kebenaran mereka sekiranya mahu mengambil gambar penjaja di pasar dan pusat penjaja terbabit.

“Kami juga sentiasa bersedia mendengar dan akan memberikan kerjasama sekiranya cadangan kalangan penjaja terbabit adalah sesuatu yang membina dan baik kepada semua pihak walaupun kami adalah pihak berkuasa tempatan bandaraya ini,” katanya.

Chan juga mendedahkan yang papan tanda meminta penjaja terbabit tidak memberikan makanan kepada anjing dan kucing liar juga akan diedar dan dipamerkan MBKS di pasar dan pusat penjaja dibandaraya ini sebagai langkah pencegahan wabak penyakit anjing gila atau rabies.

“Ini bukan kerana kami menentang perbuatan penjaja terbabit, tetapi disebabkan pelanggan mereka bimbang dengan kehadiran haiwan liar itu terutama anjing yang gemar menghidu kaki ditambah ada pelanggan juga membawa anak kecil ke pasar dan pusat penjaja terbabit,” katanya.

Katanya ada pihak menjadikan pasar dan pusat penjaja sebagai tempat membuang anjing dan kucing dan penjaja tempat itu yang kasihan dengan binatang tersebut telah memberikan makanan yang seterusnya mengalakkan haiwan itu terus berkeliaran di sana.

Disamping itu, Chan mendedahkan yang MBKS telah berbelanja RM1.99 juta bagi menyelengara dan menambah baik kemudahan di pasar dan pusat penjajanya tahun lepas termasuk bagi kerja pemasangan kamera litar tertutup dan berharap penjaja memastikan pasar dan pusat penjaja mereka sentiasa bersih.

“Ini kerana pelancong asing bukan hanya menginap di hotel dan melawat tempat pelancongan menarik, tetapi mereka juga semakin gemar melawat pasar dan pusat penjaja di bandaraya ini,” katanya.

Beliau juga mengumumkan yang penjaja di bandaraya Kuching diberikan tempoh hanya pada bulan ini bagi menukarkan hak milik perniagaan mereka ke tangan suami atau isteri dan akan-anak. — DayakDaily