Polis Sarawak cekup 280 individu terlibat judi sepanjang September

Anggota polis melakukan serbuan di premis perjudian haram.

KUCHING, Okt 1: Seramai 280 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram ditahan menerusi 224 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri ini sepanjang bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, daripada jumlah serbuan itu, 165 operasi dilakukan terhadap aktiviti menjual nombor loteri haram.

Menurutnya, 54 lagi serbuan dilaksanakan melibatkan perjudian dalam talian, perjudian terbuka (3) dan masing-masing satu serbuan membabitkan aktiviti pertaruhan dan judi di dalam kediaman.


“Daripada keseluruhan serbuan itu, polis telah merampas wang tunai sebanyak RM52,889 disyaki hasil perjudian haram berkenaan.

“Kita (polis) juga berjaya merampas 74 unit telefon dan tablet yang juga dipercayai digunakan oleh individu yang ditahan untuk menjalankan aktiviti perjudian haram itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Petugas SEB dan polis bekerjasama memotong bekalan elektrik di premis perjudian.

Denis menambah, kesemua serbuan tersebut telah dilakukan di Kuching, Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Betong, Limbang, Maradong, Kanowit, Marudi, Julau, Serian, Sarikei, Kapit, Mukah, Saratok, Sri Aman, Lundu, Lawas, Dalat, dan Song.

Jelasnya, polis kini telah bekerjasama dengan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk ‘memotong’ bekalan elektrik di premis-premis yang digunakan sebagai pusat perjudian haram.

“Kita (polis) juga akan terus melakukan operasi membanteras kegiatan perjudian haram dari masa ke semasa di seluruh Sarawak.

“Kes berkenaan masih dalam proses siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya lagi. — DayakDaily