LUNDU, Mac 13: Polis hari ini mengesahkan jantina mayat manusia yang ditemui reput di Pantai Sungai Cina pada Ahad lalu adalah seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Wong Chee Keong berkata, jantina itu disahkan sebagai lelaki selepas bedah siasat selesai dijalankan.
Bagaimanapun katanya, identiti mangsa belum lagi dikenalpasti buat masa ini.
“Proses untuk kenalpasti identiti mangsa itu mengambil masa disebabkan keadaan fizikal mayat yang reput.
“Polis juga belum menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wong menambah, berdasarkan keadaan fizikal mangsa, polis percaya lelaki berkenaan dipercayai mati kira-kira seminggu lalu.
DayakDaily semalam melaporkan penduduk di daerah itu gempar dengan penemuan satu mayat manusia yang reput tanpa bahagian kepala di tepi pantai Sungai Cina di sini.
Mayat tanpa sebarang identiti itu ditemui oleh pasangan suami isteri di tepi pantai berkenaan pada pukul 5.35 petang.
Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 5.54 petang.
Pada mulanya, pasangan suami isteri tersebut menyangka objek yang ditemui merupakan bangkai ikan, namun apabila didekati mereka terkejut melihat ia merupakan mayat manusia. — DayakDaily