Tiga sekeluarga nyaris maut, kereta dinaiki terhumban dalam parit

Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa kemalangan.

SARATOK, Mac 13: Tiga sekeluarga nyaris maut apabila sebuah kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terhumban masuk ke dalam parit di Simpang Krian, Jalan Saratok-Betong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.05 petang itu, ketiga-tiga mereka dilaporkan mengalami kecederaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Kho Boo Jang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.08 petang.


Jelas Kho, sembilan anggota bomba dari BBP Saratok kemudian bergegas ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Proton Saga BLM.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga mangsa termasuk pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kho menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Katanya, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.45 petang selepas anggota bomba memastikan keadaan di tempat kejadian adalah selamat,” katanya. — DayakDaily