Gempar jumpa mayat reput di pantai Sungai Cina, Lundu

Kelihatan mayat reput yang ditemui di pantai Sungai Cina, Lundu.

LUNDU, Mac 12: Penduduk di daerah ini gempar dengan penemuan satu mayat manusia yang reput tanpa bahagian kepala di tepi pantai Sungai Cina di sini petang semalam.

Mayat tanpa sebarang dokumen identiti itu ditemui oleh pasangan suami isteri di tepi pantai berkenaan pada pukul 5.35 petang.

Ketua Polis Daerah Lundu, Dsp Wong Chee Keong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 5.54 petang.


Jelasnya, sebelum itu, pasangan suami isteri terbabit sedang berjalan-jalan di tepi pantai berkenaan.

“Pada mulanya, pasangan suami isteri itu menyangka objek yang ditemui merupakan bangkai ikan, namun apabila didekati mereka terkejut melihat ia merupakan mayat manusia.

“Terkejut melihat mayat manusia yang sudah reput dan hanya tinggal dari bahagian pinggang ke kakinya sahaja, mereka kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wong menambah, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi penemuan mayat itu bagi siasatan lanjut.

Katanya, sebaik tiba, anggota polis mendapati mayat manusia tersebut masih berada di tepi pantai tersebut.

“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang (dokumen) identiti ditemui.

“Mayat reput itu kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya.

“Polis juga memohon agar mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga agar tampil ke hospital atau balai polis untuk membantu siasatan,” jelasnya lagi.

Wong menambah, buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — DayakDaily