Dua pekerja kapal melecur, kapal tiba tiba meletup dan terbakar

Kelihatan bahagian kapal yang mengalami letupan.

TANJUNG MANIS, Mac 13: Dua pekerja kapal warga Indonesia melecur pada bahagian badan mereka selepas sebuah kapal yang sedang berlabuh tiba-tiba mengalami letupan di Sungai Belawai di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi turut mengakibatkan kapten kapal Dong Fang Glory itu mengalami kecederaan pada bahagian mukanya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.42 pagi.


Katanya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis dan BBP Sungai Merah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran.

Keadaan kapal yang meletup dan terbakar.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran itu sudah dipadamkan oleh pekerja kapal tersebut.

“Anggota bomba kemudian bertindak melakukan operasi pengudaraan bagi mengeluarkan asap untuk memastikan api dapat dikawal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Misran memberitahu, 15 lagi anak kapal yang lain sempat menyelamatkan diri.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba mendapati keadaan terkawal sepenuhnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily