Polis Miri rampas ganja dan serbuk pil ketum bernilai RM11,960, seorang pemuda ditahan

Mohd Sabri (tengah) menunjukkan ganja dan serbuk dan pil ketum yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan pada 2 Nov 2021.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Nov: Seorang penganggur warga tempatan ditahan polis pada pagi semalam berikutan penemuan ketulan mampat dedaun kering warna kehijauan disyaki ganja dan serbuk dan pil ketum bernilai RM11,960 dalam dua serbuan berasingan di Desa Indah dan Taman Desa Senadin.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol dalam satu kenyataan media pada Rabu, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Miri (BSJN) dalam satu operasi pada jam 9.30 pagi dan 10.10 pagi.


Sejumlah 6.753kg dadah jenis daun ketum dan ganja ditemui dalam serbuan tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita telah menemui lima bungkusan lutsinar mampatan dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 4,776 gram bernilai RM11,940,” jelasnya.

Semasa serbuan di lokasi seterusnya, di Taman Desa Senadin, tempat rumah sewa suspek, pihak polis menemukan dua botol kaca berisi serbuk hijau dipercayai serbuk daun ketum dan 2,750 biji kapsul disyaki berisi serbuk daun ketum dengan berat 1,977 gram dengan anggaran nilai RM20.

Hasil saringan awal (ujian urin) ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek berusia 25 tahun itu telah diperintah untuk direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Menurut Mohd Sabri, tangkapan ini merupaka pertama dilakukan melibatkan rampasan dadah jenis ketum di daerah ini.

Lelaki tersebut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily