Polis Marin merampas rokok seludup, kereta bernilai RM518,000

ACP Shamsol Kassim (kanan) menunjukkan kotak rokok serta kereta Proton Arena yang dirampas pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak di Kota Sentosa selepas mengadakan sidang media di ibu pejabat pasukan itu, hari ini.

KUCHING, 21 Jan: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak berjaya merampas sebanyak 610,000 batang rokok seludup dan sebuah kereta yang keseluruhannya bernilai RM518,000 di Kota Sentosa, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata hasil maklumat risikan, lapan anggota polis marin termasuk dua pegawai, telah menahan sebuah kereta Proton Arena dipandu seorang lelaki tempatan berusia sekitar 37 tahun berdekatan sebuah rumah tidak bernombor di Kota Sentosa, Batu 7 pada pukul 4.50 petang.

“Setelah pemeriksaan kenderaan tersebut dijalankan, pihak kami telah menemui sebanyak lima kotak berwarna coklat di belakang kenderaan yang dipercayai berisi barangan tanpa cukai iaitu rokok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, hari ini.


Katanya lelaki terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan lima kotak berisi rokok pelbagai jenis dalam kenderaan dipandunya itu dan telah ditahan serta kotak terbabit dirampas.

Sejurus itu, pemeriksaan lanjut telah dijalankan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kota Sentosa dan pasukan itu menemui 56 kotak yang dipercayai berisi rokok seludup.

Lima kotak dirampas di belakang kereta Proton Arena mengandungi sebanyak 50,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM40,000, termasuk cukai.

Manakala 56 kotak dirampas dari rumah tidak bernombor tersebut, mengandungi sebanyak 560,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM448,000, termasuk cukai.

“Kes ini disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan kes diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Sentosa untuk tindakan lanjut,”katanya.

Di samping itu, Shamsol menyatakan bahawa tahun ini sehingga 21 Januari, pasukan terbabit telah mencatatkan sebanyak 20 kes dalam pelbagai akta.

“Kes dibawah Akta Kastam 1967 sahaja sebanyak 14 kes (tahun ini) dengan nilai rampasannya sebanyak RM1,708,031,” katanya.

Katanya ini menunjukkan peningkatan lebih RM1 juta jika dibandingkan dengan rampasan pasukan terbabit sepanjang Januari 2019 yang mencecah RM155,266. —DayakDaily