Polis beri tumpuan di 56 lokasi kerap kemalangan dalam Op Selamat ke-18

Mohd Azman melakukan flag off sebagai simbolik pelancaran Op Selamat ke-18.
Advertisement

KUCHING, 28 April: Polis Sarawak akan melakukan rondaan di 56 lokasi ‘hot spot’ di seluruh Sarawak sepanjang tempoh Op Selamat Ke-18 sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri lokasi-lokasi tersebut merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan jalan raya di seluruh negeri.

Katanya, lokasi tersebut yang terletak di 28 daerah di Sarawak adalah terdiri daripada 36 Jalan Persekutuan dan 20 Jalan Negeri.

Advertisement

“Semua 56 ‘hot spot’ tersebut adalah kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

“Dengan meletakkan pegawai dan anggota polis di semua (56) lokasi terpilih juga diharapkan dapat mewujudkan rasa selesa dan selamat di kalangan pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Op Selamat 18 di Pusat Beli-belah Boulevard di sini hari ini.

Tambahnya, Op Selamat ke-18 yang bermula esok sehingga 8 Mei ini akan melibatkan semua cawangan dan jabatan Polis Kontinjen Sarawak di semua daerah di Sarawak.

“Seramai 750 orang pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat bagi menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan juga bagi memastikan rumah yang ditinggal berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Tambahnya tujuan operasi adalah untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negeri Sarawak di sepanjang tempoh musim perayaan ini.

“Manakala orang ramai yang meninggalkan rumah sepanjang tempoh itu juga dinasihatkan untuk memaklumkan ketidak beradaan mereka kepada pihak polis, agar anggota yang bertugas dapat membuat rondaan di kawasan berkenaan,” katanya.— DayakDaily

Advertisement