PN Sarawak sambut baik pelanjutan Darurat

Jaziri Alkaf A. Suffian

KUCHING, 1 Ogos: Perikatan Nasional (PN) Sarawak menyambut baik pengisytiharaan Proklamasi Darurat di Sarawak, penting dalam mengawal pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusinya Senator Jaziri Alkaf A. Suffian, Proklamasi Darurat ini perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keadaan dan soal nyawa rakyat.

Katanya, rakyat masih belum bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akibat penularan wabak yang masih tinggi.

“PN negeri bersama rakan-rakan di dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat berharap dengan kejayaan yang diraih dalam usaha mengawal penularan pandemik ini.

“Melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), kehidupan akan menjadi pulih seperti sedia kala serta banyak sekatan dapat dilonggarkan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Sarawak di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan.

Ini sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Tambah Jaziri, pelaksanaan Program Pick oleh Kerajaan PN di seluruh negara telah dilaksanakan secara pantas dan menyeluruh.

Ujar beliau, dijangkakan hampir 100 peratus populasi dewasa di Malaysia akan lengkap menerima dos vaksin lebih awal iaitu pada Oktober ini.

“Oleh itu dengan perkembangan ini diharapkan mungkin Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal sekali gus membolehkan PRN diadakan segera.

“Proklamasi Darurat ini adalah untuk melindungi rakyat daripada pandemik dan mengelak keadaan yang lebih buruk jika pilihan raya negeri terpaksa diadakan dalam keadaan sekarang yang mana kes masih tinggi dan kematian juga semakin meningkat,” ujar beliau.

Jaziri yakin apabila keadaan telah semakin pulih seperti sediakala sudah tentu Kerajaan akan membenarkan rakyat di negeri ini melaksanakan hak mereka untuk mengundi. — DayakDaily