PKR Sarawak seru pemimpin Negeri patuh SOP

Abun Sui Anyit

KUCHING, 31 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyeru pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan perlanjutan proklamasi darurat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dikeluarkan sendiri oleh Kerajaan.

Ketua Penerangan Abun Sui Anyit berkata demikian kerana bimbang akan berlakunya penyebaran wabak Covid-19 menerusi majlis-majlis kerajaan.

“Sebagai contoh, penularan Covid-19 di Kapit yang menyebar dengan banyak selepas satu acara Majlis Perasmian Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) diadakan di pekan Kapit yang kelihatan agak besar jumlah pesertanya dirasmikan oleh Ketua Menteri.

“Kita tidak mahu darurat untuk Sarawak ini dipersia-siakan tanpa ada hasil keputusan yang dikehendaki iaitu kita mahu Sarawak benar-benar dapat mengawal dan bebas Covid-19 seterusnya menjadi zon hijau sebelum darurat tamat nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abun turut berkata, jika keadaan mengizinkan, PKR Sarawak mencadangkan agar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dipanggil dengan SOP yang ketat, untuk membahaskan dan meluluskan usul-usul berkaitan perkara yang perlu seperti bantuan kepada rakyat Sarawak termasuk Bajet 2022 Negeri Sarawak. — DayakDaily