Fatimah: Muhyiddin sebagai ‘PM Caretaker’ bakal terus bantu rakyat hadapi pandemik 

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 16 Ogos: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘Perdana Menteri Caretaker’ disifatkan terus membantu rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19 pada masa ini.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, ia penting dalam meneruskan usaha memerangi Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong telah melantik Muhyiddin sebagai ‘Perdana Menteri Caretaker’ sehingga ada perdana menteri yang baharu.


“Dengan pelantikan itu, usaha beliau untuk memerangi wabak Covid-19 dan membantu rakyat yang terjejas kelangsungan hidup dapat diteruskan,” kata Fatimah dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin pada hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara yang berkenan menerima surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.

Tambah Fatimah, perdana menteri terpaksa meletak jawatan setelah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kestabilan politik di negara ini agar kerajaan dapat meneruskan usaha memerangi wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan yang stabil boleh membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik selain membangunkan semula ekonomi rakyat dan negara.

“Hentikan pertelingkahan, perebutan kuasa. Kemelut politik akan memburukkan lagi keadaan negara kita,” kata Fatimah. — DayakDaily