Sempena Hari Kemerdekaan, bulatkan tekad pulihkan negara – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 30 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat Malaysia membulat tekad untuk memulihkan negara pada sambutan ke-64 kemerdekaan tanah air.

Katanya, cabaran yang sedang dihadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

“Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi.


“Di mana, ia menggugat kestabilan politik negara kita dan di seluruh dunia.

“Sempena hari kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik Covid-19, sebagai musuh yang paling utama,” katanya pada Perutusan Hari Kebangsaan Negara yang dirai esok.

Menurut Ismail Sabri, kejayaan mengatasi cabaran itu nanti akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

Jelas beliau, ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segeralah mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara.

“Vaksin telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini.

“Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan,” ujar beliau.

Pada sambutan tahun ini tambah Ismail Sabri, rakyat harus berjanji untuk bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.

Tegas beliau, rakyat mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia.

“Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” kata Ismail Sabri. — DayakDaily