Operasi BSN Bergerak bantu 36,000 penduduk di Sungai Asap dan Sebauh

Pelanggan berbaris dan mematuhi SOP ketika mengeluarkan wang tunai di mesin ATM CBB BSN.

KUCHING, 1 Ogos: Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak (CBB) BSN telah beroperasi di Sungai Asap, Belaga dan Sebauh, Bintulu bagi membantu urusan perbankan kepada lebih 36,000 penduduk.

BSN dalam satu kenyataan berkata, ia menawarkan perkhidmatan perbankan seperti transaksi pengeluaran wang tunai melalui Mesin Teler Automatik (ATM), pembukaan akaun dengan Kad Debit BSN Visa.

Turut ditawarkan ialah perkhidmatan simpanan tunai, pembayaran bil-bil utiliti, pembelian BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), tambah nilai dan sebagainya.

“Selain itu, penduduk di Sungai Asap dan Sebauh juga boleh mendapatkan bantuan-bantuan kerajaan seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui CBB BSN,” menurut kenyataan itu.

CBB BSN ini merupakan kenderaan berkapasiti tiga tan yang telah diubah suai bagi menempatkan satu unit ATM dan dua kaunter pelanggan menggunakan terminal Pos Ejen Bank (EB).

Melalui perkhidmatan CBB BSN ini diharapkan dapat memenuhi keperluan perbankan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak. — DayakDaily