PM: Skim VTL rancakkan kembali ekonomi di Miri, Limbang dan Lawas

Ismail dan Abang Johari hadir ke Festival Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.

KUCHING, 26 Feb: Skim Vaccinated Travel Lane (VTL) udara, darat dan laut bakal merancakkan kembali sektor ekonomi termasuk industri pelancongan yang sebelum ini terjejas dengan pandemik Covid-19.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain Singapura dan Indonesia, Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL.

Katanya, ini hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungan ke Brunei baru-baru ini.

“Langkah ini bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Kuching Waterfront di sini, malam ini.

Majlis dihadiri Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Kesenian Dato Sri Nancy Shukri.

Tambah Ismail, pelaksanaan VTL juga akan melibatkan Thailand hasil perbincangan semasa lawatan rasmi beliau ke negara tersebut baru baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Citrawarna Keluarga Malaysia dengan tema ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ sesuai diadakan di Bandar Raya Kuching setelah ia mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.

“Antaranya sebagai Bandar Raya Kreatif oleh UNESCO di bawah kategori gastronomi dan ASEAN pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018.

“Kejayaan menjadi Creative City of Gastronomy ini, Kuching dilihat mampu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di Sarawak,” katanya.

Festival yang berlangsung selama empat hari ujar Ismail pastinya berupaya mempromosikan produk kesenian dan warisan khususnya di Sarawak yang sememangnya cukup kaya dengan ‘biodiversity’.

Daripada hidangan makanan tempatan seperti Mee Kolok, Laksa Sarawak, Kek Lapis Sarawak, persembahan seni tari pelbagai etnik sehinggalah jualan kraftangan, semuanya mempunyai keunikannya tersendiri.

Maka katanya tidak hairanlah sambutan festival mega ini cukup signifikan dari segi tagline Malaysia- Truly Asia. — DayakDaily