PM setuju isu royalti minyak dan pengembalian hak Sarawak harus diselesaikan, kata Fadillah 

Fadillah (duduk tiga kiri) bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS mengadakan pertemuan bersama Tun Mahathir (duduk tengah) di Putrajaya.

KUCHING, September 14: Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.

Seramai 15 daripada 19 Ahli Parlimen GPS menyertai pertemuan itu diketuai oleh Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, kunjungan itu bertujuan untuk memperkenalkan barisan Ahli Parlimen GPS serta membincangkan beberapa perkara berkaitan Sarawak seperti royalti minyak, pengembalian kuasa seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) serta isu naik taraf sekolah daif.


Menurutnya, semua Ahli Parlimen GPS juga telah menyatakan hasrat kerajaan Sarawak untuk membantu pihak kerajaan Persekutuan berkenaan naik taraf sekolah daif dengan menawarkan dana dari kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion secara pinjaman atau “write off” – hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri (Tun Mahathir) telah bersetuju bahawa isu berkenaan royalti minyak  dan pengembalian hak Sarawak harus diselesaikan seperti mana yang telah dijanjikan.

“Berkenaan tawaran dana bagi naik taraf sekolah, ianya akan dibincangkan oleh pihak kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fadillah menambah, ahli-ahli parlimen GPS juga telah menyuarakan hasrat agar projek-projek infra rakyat yang telah dirancang sebelum ini diteruskan.

Katanya, antara projek itu adalah seperti jalan dan jambatan, hospital dan klinik kesihatan, projek serta kemudahan air dan elektrik harus diteruskan bagi manfaat rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Sebagai contoh Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem telah memohon supaya projek Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian bernilai RM310 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan sebelum ini diteruskan pembinaannya.

“Begitu juga dengan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang memohon supaya projek Jambatan Batang Lupar bernilai RM1 bilion (ditanggung bersama oleh Kerajaan Pusat dan Negeri) yang amat diperlukan juga diteruskan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya, kesemua Ahli Parlimen GPS menyuarakan hasrat agar projek-projek kemudahan asas yang telah diluluskan terdahulu diteruskan pembinaannya kerana ianya sangat diperlukan oleh rakyat.

Jelasnya, dalam pertemuan itu juga, Perdana Menteri turut menyatakan rasa gembira menerima kunjungan ahli-ahli GPS dan beliau juga berpuas hati dengan perbincangan tersebut.

“Mewakili GPS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kesudian beliau berjumpa dan bekerjasama dengan GPS demi manfaat rakyat dan negara,” katanya. — DayakDaily