Lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas tidak balik rumah

Inilah mangsa yang dilaporkan hilang.

MIRI, September 14: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang apabila tidak pulang semula ke rumahnya di Rumah Panjang Sendu di sini sejak petang semalam.

Mangsa, Jandah Luang, 88, dilaporkan hilang oleh ahli keluarga setelah tidak balik ke rumah sejak keluar pada pukul 3 petang.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 petang.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan pihak bomba bertindak mengambil maklumat daripada keluarga mangsa.

“Namun pada masa itu, kehilangan mangsa belum dilaporkan kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, pencarian telah dilakukan di sekitar kawasan rumah dan kawasan kebun namun, mangsa masih belum dijumpai.

Katanya, operasi telah ditangguhkan pada pukul 9.45 malam dan telah disambung pada pagi tadi.

“Setakat ini, mangsa masih lagi belum ditemui,” katanya. — DayakDaily