PKR Sarawak: Wakil rakyat melompat  akan kecundang di penghujungnya kelak

Abang Zulkifli Abang Engkeh (kanan)

KUCHING, 8 Jun: Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (Sarawak) Abang Zulkifli Abang Engkeh percaya wakil-wakil rakyat yang melompat  akan kecundang di penghujungnya kelak.

Menurut beliau, politikus yang berpura-pura tidak akan bertahan lama.

“Sejarah memaparkan kepada kita mereka yang suka melompat itu akan kecundang di penghujungnya kelak.


“Apa yang akan berlaku ialah, pertama mereka hanya dipergunakan bila sesebuah parti itu menghadapi kesusahan.

“Bila senang mereka akan ditinggalkan. Dalam kebanyakan kes mereka tidak akan dicalonkan lagi.

“Keduanya, mereka akan diajar sendiri oleh para pengundi dan rakyat kerana perbuatan mereka sendiri dan mereka akan kalah dalam pilihanraya,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Namun tambah Abang Zulkifli lagi, kehilangan wakil–wakil rakyat itu adalah fenomena biasa dan yang lebih teruk lagi ialah kes-kes melompat.

Katanya, ini diikuti segelintir ahli parti yang juga belum pasti mereka benar-benar mengetahui halatuju yang jelas mengapa mereka itu melompat atau dipecat.

“Ada di antaranya hanya mengikut dengan membabi buta. Saya melihat itu adalah norma biasa dalam sesebuah parti politik dan tidak perlu digusarkan,” ujar beliau.

Berhubung sergahan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan PKR akan terkubur, Abang Zulkifli percaya ia adalah petanda bahawa mereka juga menaruh kekhuatiran yang tinggi terhadap kemaraan PKR.

Jelas beliau, rakyat mengetahui bahawa perkembangan dan kemajuan momentum PKR kian menganjak.

“Kita tahu bahawa kewujudan PKR sememangnya dalam perhatian Gabungan Parti Sarawak(GPS) sepanjang masa.

“Saya mempunyai tafsiran bahawa PKR adalah sebuah parti yang akan menggugat kedudukan mereka (GPS) sepanjang masa,” tegas Abang Zulfifli lagi.

Pada kenyataan itu, beliau turut membidas Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang yang tidak melihat realiti bahawa mereka yang melompat itu bukannya kerana kesedaran tetapi mereka takut berhadapan dengan realiti.

Realitinya ialah mereka tidak berani berhadapan kesusahan, ujar Abang Zulkifli.-DayakDaily.