PKR Sarawak seru kerajaan tampil dengan pelan tindakan holistik, strategi keluar yang jelas

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 2 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyeru Kerajaan Persekutuan untuk tampil dengan pelan tindakan yang holistik dan strategi keluar yang jelas dalam memerangi pandemik Covid-19.

Ketua Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Jame Stephen berkata, pendekatan yang lebih bersistematik ini bermakna bahawa cara membuat keputusan akan didorong oleh data, bebas, dan bukan dengan sewenang-wenangnya.

“Satu strategi pengurusan pandemik jangka panjang dan jangka pendek perlu diadakan mengikut kesesuaian semasa dan adalah penting untuk diperhatikan bahawa strategi ‘lockdown’ bukan satu-satunya jalan penyelesaian.

“Ujian yang lebih kerap secara besar-besaran di seluruh negara dan sistem pengesanan hubungan yang bersistematik diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa dua intervensi utama untuk mengekang pandemik dari terus menular adalah melalui pengurusan pandemik dan program vaksinasi kebangsaan yang cepat dan cekap.

“Namun strategi yang jelas daripada agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan amat diperlukan untuk tidak menimbulkan kecelaruan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Jame turut menasihati Kerajaan untuk memperkenalkan indeks keterukan Covid-19 yang mudah difahami dan meningkatkan langkah-langkah keselamatan awam.

Selain itu, beliau menyeru Kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pelbagai saiz dan memastikan ada jangkauan aktif kepada semua rakyat untuk memastikan penerimaan besar-besaran tanpa mengira status.

“Walau bagaimanapun, berhati-hati terhadap sebarang bentuk kronisme dalam memilih syarikat yang menyediakan perkhidmatan vaksin. Untuk mengelakkan pembaziran, ‘stand-by list system’ perlu disediakan untuk program vaksinasi yang diuruskan oleh PPV agar dapat memastikan orang ramai boleh dipanggil dengan notis yang singkat.

“Senarai menunggu yang betul untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) mesti dipatuhi tanpa beratur-melompat macam yang berlaku di Sarawak di kalangan orang kenamaan (VIP).

“Peruntukan maklumat vaksin dan pendidikan awam lanjut untuk menggalakkan pendaftaran juga perlu dibuat di pelbagai platform dan tidak hanya terhad kepada MySejahtera,” tambahnya.

Beliau turut mengingati Kerajaan untuk mengadakan persidangan Parlimen dengan segera.

“Ahli Parlimen sudah divaksin, maka kita lihat tiada sebab mengapa Parlimen tidak dapat bersidang semula secara fizikal sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

“Parlimen adalah wadah untuk menangani isu-isu komunikasi yang jelas, pengurusan pandemik yang berkesan, penyelarasan antara kementerian-kementerian, antara kerajaan persekutuan dan negeri, pengurusan vaksinasi yang pesat, dan peruntukan bantuan ekonomi yang diperlukan,” katanya lagi. — DayakDaily