PKR Hulu Rajang: Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat tidak dapat halang MPKKP

Abun Sui Anyit (file photo)

MIRI, Oct 24: Ordinan Ketua Kaum Dan Ketua Masyarakat 2004 hanyalah kaedah undang-undang yang digunakan untuk melantik ketua kaum dan ketua masyarakat di negeri Sarawak sahaja.

Menurut ketua cabang Keadilan Hulu Rajang, Abun Sui Anyit, Ordinan ini tidak ada kena mengena dengan pelantikan ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) kerana MPKKP dan Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004 adalah dua perkara yang berbeza.

Ordinan ketua kaum tersebut tidak dapat dilaksanakan ke atas MPKKP atau menghalang penubuhan MPKKP, tambah beliau.

Abun telah membalas kenyataan Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, yang berkata Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004 boleh menghalang penubuhan MPKKP di Sarawak.

Dalam laporan media semalam, Penguang berkata kerajaan negeri akan menguatkuasakan undang-undang tersebut pada waktu yang sesuai.

“Penubuhan MPKKP tidak melanggar apa-apa undang-undang, justeru rakyat tidak perlu merasa takut dengan gertakan tidak relevan dan tidak berasas dari Penguang ini.

“Kerajaan pusat tidak perlu hiraukan cadangan Penguang untuk menggunakan tindakan undang-undang untuk menghentikan MPKKP kerana ini tidak mungkin boleh dilaksanakan dan membuang masa.

“Rakyat Sarawak diseru agar tidak perlu takut dengan amaran tidak berasas seperti ini,” kata Abun dalam satu kenyataan.

MPKKP, yang dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), adalah untuk perlaksanan inisiatif tersebut di negeri Sarawak.

Tambah beliau, hakikat sebenarnya adalah Ordinan Ketua Kaum Dan Ketua Masyarakat 2004 dapat dikuatkuasakan terhadap ketua masyarakat dan ketua kaum yang melanggar Seksyen 8 Ordinan tersebut, di mana individu yang dilantik tidak boleh memegang sebarang jawatan di dalam parti politik atau kaunselor di pihak berkuasa tempatan.

Abun berkata cadangan Penguang adalah pendapat yang dianggap tidak menghormati kerajaan pusat yang boleh melaksanakan apa sahaja dasar yang ingin diperkenalkan dan dikuatkuasakan melalui kementerian dalam kerajaan persekutuan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar, demi kemajuan dan kebaikan rakyat.

Menurut laporan media, Penguang juga menyifatkan mereka yang mendaftar bersama MPKKP sebagai golongan yang tersisih dari masyarakat umum, golongan yang tiada status sosial atau dengan kata lain, “seperti orang buangan iaitu tidak diperlukan”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi tersebut juga berpendapat MPKKP tidak perlu ditubuhkan di Sarawak sebagai penghubung rakyat kepada kerajaan pusat, kerana Putrajaya sudah memiliki banyak agensi di Sarawak.

Mekanisma sedia ada boleh digunapakai untuk tujuan yang sama, tambah beliau.

Tegas Abun, MPKKP akan berperanan dan bekerjasama penuh dengan semua pihak termasuk agensi-agensi persekutuan untuk membawa pembangunan dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan persekutuan di peringkat kampung.

“Dengan adanya MPKKP nanti, maka mudahlah jabatan dan agensi kerajaan menyalurkan projek dan pembangunan kepada kampung-kampung di Sarawak dan inilah hakikat yang sangat ditakuti pihak kerajaan pembangkang Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujar beliau.

Beliau juga membidas kenyataan Penguang yang mengatakan pihak yang menyertai MPKKP adalah orang yang tidak berguna. Ini diibaratkan sebagai menghina rakyat Sarawak, katanya.

“Penubuhan MPKKP bukanlah untuk melantik ketua kaum dan ketua masyarakat seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebab kuasa tersebut masih terletak pada kerajaan negeri melalui Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004.

“Ini bermakna setiap rumah panjang atau kampung di Sarawak masih ada hanya satu ketua kaum atau tuairumah. Jadi isu MPKKP membawa perpecahan tidak timbul.” — DayakDaily