PKPB: Pengusaha bas sekolah dilarang meminta bayaran perkhidmatan

File photo for illustration purposes

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 13: Pengusaha bas sekolah dilarang meminta bayaran perkhidmatan daripada ibu bapa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tegas Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, isu tersebut sepatutnya tidak timbul kerana perkhidmatan bas sekolah langsung tidak beroperasi pada masa ini.


“Ibu bapa membayar tambang bas kerana perkhidmatan tersebut digunakan untuk mengangkut anak-anak mereka ke sekolah, tetapi dalam tempoh PKPB ini perkhidmatan tiada.

“Sebab itu saya beritahu baru-baru ini bahawa sepatutnya tidak berlaku soal pengusaha mengenakan bayaran untuk ibu bapa.

“Jika berlaku, tindakan mesti diambil oleh Kementerian Pengangkutan kerana lesen mereka dikeluarkan oleh kementerian tersebut,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung isu terdapat pengusaha bas sekolah yang meminta ibu bapa membayar caj perkhidmatan semasa tempoh PKPB.

Menurut Ismail Sabri lagi, kerajaan faham dengan masalah yang dihadapi pengusaha bas yang telah mengalami kerugian kerana tiada pendapatan hasil daripada perkhidmatan yang mereka sediakan selama ini.

Justeru untuk membantu, katanya, kerajaan telah membenarkan pengusaha bas sekolah untuk menyediakan perkhidmatan mengangkut pekerja-pekerja kilang.

“Kalau dahulu bas-bas kilang mengangkut pekerja dengan kapasiti penuh, tetapi sekarang hanya separuh yang dibenarkan.

“Jadi mereka tak dapat menghantar semua pekerja pada waktu yang sama, mungkin kena buat dua atau tiga pusingan.

“Sebagai penyelesaian, kementerian pengangkutan telah membuat keputusan bahawa syarikat-syarikat boleh menggunakan bas sekolah untuk mengangkut pekerja kilang,” ujar Ismail Sabri.

Beliau menyarankan agar pengusaha bas berbincang dengan syarikat-syarikat tertentu agar mereka boleh membantu mengangkut pekerja-pekerja kilang sewaktu PKPB. — DayakDaily