PKP: Sarawak guna sistem sedia ada, agih bantuan mulai April

Abang Johari pada Bicara Naratif Covid-19 Pelan Tindakan Sarawak di Kuching, semalam (Mac 29, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 30: Sistem sedia ada akan digunapakai bagi mempercepatkan proses pengagihan bantuan yang telah diumum kerajaan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, agihan tersebut hendaklah dilakukan secepat mungkin mulai April ini.


“Kita hendak mempercepatkan proses mengagihkan bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan kepada rakyat.

“Maka, kita akan menggunakan sistem sedia ada kerajaan persekutuan melalui senarai penerima di jabatan percukaian,” katanya pada Bicara Naratif Covid-19-Pelan Tindakan Sarawak di Auditorium P Ramlee, RTM Sarawak di Kuching, semalam.

Tambah beliau, di pihak kerajaan negeri, satu jawatankuasa yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri akan dibentuk agar bantuan khususnya bantuan dengan jumlah RM645 juta boleh diagihkan sebaiknya.

Melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang berjumlah RM1.15 billion, golongan B40 akan menerima RM1,500 dengan bayaran dibuat dalam tempoh enam bulan mulai April ini.

Kata Abang Johari, ia melibatkan 430,000 orang penerima mengikut senarai di jabatan percukaian.

“Mungkin ada yang akan menerimanya setiap bulan dengan jumlah RM250 dimana kita akan kreditkan terus kepada akaun penerima.

“Bagi yang tiada akaun, mungkin kita terpaksa buka kaunter sama ada kita agihkan dua bulan sekali dalam tempoh enam bulan. Bagi mereka yang menggunakan teknologi, kita mungkin terus masukkan ke dalam akaun Sarawak Pay.

“Ini semua kaedah yang akan diputuskan jawatankuasa dan saya harap dalam tempoh enam bulan, rakyat telah menerimanya,”ujar Abang Johari lagi.

Melalui pakej khas itu, tambah beliau, individu yang terlibat di barisan hadapan yang menguruskan wabak Covid-19 di Sarawak diberikan insentif khas sebanyak RM300 iaitu disediakan kepada doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan.

Bantuan RM200 pula diberikan kepada pegawai imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17.35 juta.

“Manakala bagi pinjaman Usahawan Kecil dan Sederhana (SME), kita telah minta kementerian perdagangan di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk mengkaji bagaimana pinjaman melalui SEDC dan AgroBank disediakan,” katanya lagi.

Sementara itu, tambah Abang Johari, dengan peruntukan tambahan RM16.4 juta yang diumumkan pada Sabtu lepas (Mac 28), kementerian kebajikan akan menguruskan tugas mengagihkan makanan di bandar dan di luar bandar.

Jawatankuasa yang dibentuk juga akan menguruskan semua bantuan melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat (Mac 27) lepas. — DayakDaily