PKP: Kerajaan umum peruntukan tambahan RM10 bilion bantu PKS

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 April: Kerajaan pusat telah umum peruntukan tambahan RM10 bilion sebagai bantuan tambahan untuk bantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan tambahan itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.


Langkah pertama menurutnya, peruntukan dalam program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lepas dinaikkan dari RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif ini, kata Muhyiddin, semua syarikat dengan pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah akan menerima bantuan mengikut ketetapan.

“Syarikat lebih 200 pekerja, subsidi upah RM600 diberikan bagi setiap pekerja yang dikekalkan. Bagi syarikat melebihi 75 hingga 200 orang akan terima subsidi upah RM800 setiap pekerja.

“Manakala bagi syarikat sehingga 75 orang, subsidi upah RM1,200 diberikan kepada setiap pekerja,” katanya pada Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) di Putrajaya, hari ini.

Menurut Muhyiddin, bantuan untuk tempoh tiga bulan ini khusus diberikan kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum 1 Januari 2019, selain telah mendaftar dengan Perkeso.

Katanya, inisiatif upah ini akan memberi manfaat kepada 4.8 juta pekerja di seluruh negara.

Majikan pula disyaratkan mengekalkan pekerja mereka untuk tempoh minimum enam bulan, iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu.

Langkah kedua, tambah Muhyiddin ialah mewujudkan Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

“Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

“PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini dan kerajaan akan memperolehi senarai PKS mikro yang layak daripada PBT dan SSM.”

Selain itu, organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 diseru menyediakan kemudahan kredit, tambah beliau.

Kata Muhyiddin, ia adalah untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama enam bulan bermula April 2020, sepertimana yang telah diberikan oleh pihak bank.

Tambah beliau, langkah-langkah ini diambil melalui maklumbalas daripada persatuan-persatuan PKS dan juga perniagaan kecil atau mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat yang mereka terima dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Rata-rata memberi pandangan bahawa perniagaan mereka amat terjejas dan mereka memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah masalah aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Selain itu, para pengusaha PKS juga berhadapan dengan isu birokrasi dan pentadbiran yang menghalang akses segera terhadap bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam pakej Prihatin,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily