Pihak yang cuba menjatuhkan perdana menteri adalah pengkhianat sebenar — 11 bekas MP PKR

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (photo sourced from his Facebook account)

KUCHING, 24 Feb: Bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 10 bekas ahli parlimen parti menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel mereka sebagai pengkhianat.

Menerusi kenyataan akhbar bersama, mereka sebaliknya menuduh usaha pihak yang ingin menjatuhkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada Dr Mahathir
yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan Apec pada bulan November 2020.


“Kami yakin bahawa percubaan memaksa perdana menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai ‘lame duck PM’ (perdana menteri yang tidak efektif).

“Ini adalah kerana menukar perdana menteri ditengah penggal memberi
isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur. Peralihan
kuasa ditengah-tengah penggal akan mengugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan,” menurut kenyataan tersebut.

Hari ini, 11 ahli parlimen (MP) PKR tersebut telah mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Selain Azmin, 10 yang lain adalah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Mereka memaklumkan bahawa telah mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri ditengah-tengah penggal.

Menurut mereka, langkah tersebut diambil untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosio-ekonomi rakyat seperti yang terkandung di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Usaha kami terbukti benar dengan pihak tersebut kini menyedari kesalahan yang mereka telah lakukan dan mengeluarkan kenyataan mereka menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri hingga akhir penggal,” kata mereka. — DayakDaily