Petros ambil alih tugas agih sumber gas ke MGDS dan BGDS

Awang Tengah (lima dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian pengagihan gas di antara Petros dan Petronas di Kuching hari ini (Feb 12, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 12: Petroleum Sarawak Gas Sdn Bhd (Petros Gas) kini mengambil alih tugas pengagihan gas ke Sistem Pengagihan Gas Miri (MGDS) dan Sistem Pengagihan Gas Bintulu (BGDS) dari Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Ia berikutan persetujuan yang dicapai Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan Petronas melalui perjanjian yang ditandatangani di Kuching hari ini.

Majlis tersebut telah disaksikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Hari ini kita menyaksikan pertukaran tugas mengagih sumber gas keperluan domestik dari Petronas ke Petros.

“Ini bermakna, bermula 1 Januari 2020, Sarawak menguasai sepenuhnya aktiviti-aktivi berkaitan pembekalan, penjualan dan pengagihan gas asli di seluruh negeri.

“Kita memanfaatkan sepenuhnya Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016,” kata Awang Tengah yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli percaya dengan termeterai perjanjian itu, Sarawak boleh memanfaatkan sepenuhnya sumber gas untuk membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi.

Katanya, ia juga aspirasi Sarawak untuk mengekalkan 40-50 peratus sumber gas bagi kegunaan aktiviti hiliran.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, Sarawak sekarang mampu menarik ramai lagi pelabur-pelabur untuk melabur di dalam aktiviti hiliran berkaitan minyak dan gas.

“Ini termasuk menarik pelabur-pelabur dalam industri tinggi yang menggunakan sumber gas,” ujar beliau.

Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Gas Berhad (PGB) telah melaksanakan tugas pengagihan ke MGDS semenjak tahun 1989 dan ke BGDS semenjak tahun 1997.

Kini tugas pengagihan itu diambil alih Petros Gas yang merupakan anak syarikat Petros.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Petros Tan Sri Hamid Bugo dan Presiden Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. — DayakDaily