Pesara tentera menyoal SOP ujian saringan Covid-19 Hospital Bintulu

Major Hii Toh Lim

KUCHING, 13 Ogos: Kegagalan pihak Pejabat Kesihatan Bintulu memaklumkan keputusan ujian saringan Covid-19 seorang wanita yang baharu pulang dari luar negara menimbulkan kemarahan suami wanita tersebut.

Menurut suami wanita berkenaan, Major (bersara) Hii Toh Lim berkata, sehingga hari ini sejak tempoh kuarantin isterinya, tamat pada 10 Ogos lalu, mereka tidak menerima sebarang makluman daripada pihak terbabit berkenaan keputusan ujian saringan Covid-19.

Kata Hii, isterinya telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebanyak empat kali dengan kali pertama pada 26 Julai sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Australia.


Pada 27 Julai, isterinya kembali ke Bintulu dan menjalani kuarantin selama 14 hari di salah sebuah hotel bajet di pusat bandar Bintulu.

Dan pada keesokan harinya, 28 Julai, isterinya menjalani ujian saringan Covid-19 untuk kali kedua, diikuti kali ketiga pada 4 Ogos dan kali keempat pada 7 Ogos lalu.

Tempoh kuarantin yang sepatutnya 14 hari, menjadi 15 hari, malah, hingga hari ini keputusan ujian saringan covid-19 isterinya juga tidak dimaklumkan oleh pihak berkenaan.

Jelas Hii, isterinya hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 10 Ogos jam 1 petang, tetapi, diarahkan oleh pihak Pejabat Kesihatan Bintulu untuk menjalani kuarantin di rumah.

ā€œSoalannya, mengapa perlu kuarantin lagi di rumah dan mengapa pihak terbabit tidak memaklumkan lebih awal memandangkan keluarganya juga kemungkinan be-risiko disebabkan perkara itu,ā€ kata Hii dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan Hii ialah, selepas isterinya melepasi tempoh kuarantin, mereka telah membeli belah dan makan di beberapa tempat di Bintulu.

Hii juga mempersoalkan tentang prosedur operasi standard (SOP) jabatan terbabit yang beliau sifatkan sebagai tidak efesien dalam membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya mengekang penularan wabak Covid-19.

ā€œMengapa hingga kini pihak berkenaan gagal memberikan keputusan ujian saringan covid-19, sedangkan Hospital Bintulu dilengkapi makmal untuk tujuan tersebut,ā€ kata Hii.

Tambah Hii lagi, peningkatan kes positif Covid-19 adalah disebabkan oleh sikap sambil lewa sesetengah kakitangan jabatan berkenaan dalam menangani penyakit serius seperti itu.

Tegasnya, kerajaan menerusi kementerian berkenaan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah telah berusaha keras ke arah usaha tersebut.ā€” DayakDaily