Medan Niaga Satok akan dibuka 17 Ogos

Notis yang disiarkan dilaman Facebook Fama Negeri Sarawak.

KUCHING, 13 Ogos: Medan Niaga Satok di Petra Jaya yang telah diarahkan ditutup sejak 30 Julai lepas akan dibuka semula mulai 17 Ogos depan.

Mengikut notis dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Sarawak hari ini, pihaknya telah mendapat kebenaran untuk Medan Niaga Satok beroperasi semula.

“Pembukaan operasi keseluruhan Medan Niaga Satok adalah pada 17 Ogos 2020 (Isnin),” menurut notis yang disiarkan dilaman Facebook Fama Negeri Sarawak hari ini.


Mengikut notis terbabit pembukaan itu dengan syarat mengekalkan langkah-langkah pencegahan sepanjang masa dan memastikan pihak peniaga dan pengunjung mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Sehubungan dengan itu, bagi memastikan keselamatan di Medan Niaga Satok terjamin, Pengurusan Medan Niaga Satok akan mengadakan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan keseluruhan kawasan selepas arahan penutupan tamat,”menurut Fama Sarawak.

Medan Niaga Satok telah menerima notis arahan penutupan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 30 Julai lepas sehingga esok (14 Ogos).

Ini berikutan wujudnya Kluster Satok selepas empat individu di pasar berkenaan dijangkiti pandemik Covid-19.

Kes itu dikesan menerusi saringan aktif Covid-19 yang dijalankan terhadap 229 individu di pasar berkenaan pada 25 dan 26 Julai lalu.— DayakDaily