Peruntukan RM4.5 juta bagi tanaman padi di Kg Mujat

Martin (barisan depan, empat dari kanan) pada sesi dialog di Kampung Mujat. Foto: Ukas

KUCHING, 5 Feb: Kampung Mujat di daerah Tebedu telah diperuntukan sebanyak RM4.5 juta untuk membangunkan kawasan tanah bagi tanaman padi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Martin Ben berkata, kawasan tanah seluas 80 hektar akan dibangunkan dengan pembinaan jalan pertanian serta sistem pengairan dan saliran.

Menurut beliau, ini selaras dengan usaha kerajaan Sarawak yang ingin menjaga keselamatan makanan bagi rakyatnya lebih-lebih lagi setelah harga bahan makanan meningkat.


“Kekurangan bekalan makanan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah menyebabkan harga makanan melambung tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Dialog Bagi Projek Cadangan Skim Saliran Terkawal Kampung Mujat di sini semalam.

Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedup berharap agar penduduk Kampung Mujat yang terlibat dengan projek tersebut turut memainkan peranan untuk membantu menjadikan Malaysia salah satu penyumbang rantaian bekalan makanan seperti beras dan hasil keluaran lain.

Tambahnya lagi, projek yang akan dijalankan ini boleh diperluaskan ke kawasan lain dengan pelbagai tanaman lain serta aktiviti penternakan turut digiatkan. — DayakDaily