Persatuan Dayak buat laporan polis berhubung kenyataan ustaz

Peter (tiga dari kiri) ketika ditemui di Balai Polis Kota Sentosa.

KUCHING, 3 Okt: Wakil-wakil persatuan komuniti Dayak hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang ustaz yang disifatkan boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Menurut wakil Dayak Rights Action Force (Draf) Peter John Jaban, laporan polis dibuat di beberapa balai polis di sekitar Kuching.

Selain di Kuching, katanya, laporan juga dibuat di Lundu, Betong, Bintulu dan Miri.


“Komuniti Dayak bersatu membuat laporan polis kerana tidak senang dengan kenyataan Ustaz Syakir Nasoha yang menghina komuniti Dayak.

“Laporan dibuat untuk siasatan dan tindakan oleh pihak polis kerana kita berpendapat kenyataannya (Ustaz Syakir) agak serius yang boleh mewujudkan ketegangan di antara kaum,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kota Sentosa.

Turut membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sentosa ialah Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) yang diwakili ketuanya Dominique Ng.

Menurut Peter John, perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak adalah di tahap tinggi dan ia perlu dikekalkan.

Justeru katanya, kenyataan Ustaz Syakir diharap dapat dihalang memasuki negeri ini.

Ustaz Syakir menerusi video bertajuk “Nak Syurga Tapi Takut Nak Berjuang” dikatakan menghina agama lain selain Islam.

Turut membuat laporan polis di Kuching ialah Persatuan Bulang Birieh Dayak. — DayakDaily