Perkukuh kerjasama PN, BN

Parti Pribumi Bersatu Malaysia logo (picture sourced from http://www.bersatu.org/logo.php)

Oleh Kadir Edison

KUCHING, OKT 1: Pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) diminta untuk menghentikan perbalahan secara terbuka sama ada melalui kenyataan media atau menerusi kenyataan di media sosial.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pemimpin terbabit seharusnya menggunakan platform dan forum yang betul seperti perbincangan tertutup untuk menguruskan segala perbezaan pendapat di kalangan mereka.


“Serangan seharusnya dihala kepada pihak musuh dan bukannya sesama sendiri. Perbuatan menyerang sesama sendiri akan hanya menghilangkan keyakinan rakyat kepada kita dan menguntungkan serta menggembirakan pihak lawan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin dalam gabungan terbabit akan mengguris hati serta perasaan masing-masing sekaligus tidak melambangkan pendirian parti yang diwakili oleh mereka secara keseluruhannya.

“Perbalahan ini eloklah dihentikan serta merta, bermaaf-maafan dan buka lembaran baharu untuk kerjasama PN dan BN yang lebih kukuh menuju PRU 15 yang bakal tiba pada bila-bila masa dari sekarang,”katanya

Tegas Mohd Rafiq, usaha untuk memperkukuhkan kerjasama antara PN dan BN harus bermula sekarang bermula dari peringkat pimpinan tertinggi parti sehinggalah ke peringkat bahagian dan cawangan bukannya menunggu hingga saat-saat akhir.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang meperlihatkan rakyat negeri itu memberikan mandat kepada Gabung Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada PN,BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menunjukkan bahawa gabungan tersebut bersedia mengetepikan segala perbezaan untuk berhadapan dengan Parti Warisan Plus ((Warisan, Pakatan Harapan dan Upko).

“ketika ini semua pimpinan utama, baik daripada PN, BN dan PBS bukan sahaja berkongsi pentas berceramah yang sama, malah menubuhkan jawatankuasa untuk menghasilkan Aku Janji GRS secara bersama.

“Keputusan ini membuktikan setiap parti di bawah GRS mempunyai kekuatan serta peranan tersendiri dan tanpa penglibatan serta sumbangan daripada salah satunya tidak mungkin kerajaan baharu dapat dibentuk di Sabah,” katanya.

Katanya, sekiranya semua pihak ikhlas dan bersatu hati menjayakan usaha kerjasama tersebut, beliau yakin gagasan yang dibentuk oleh PN dan BN itu berupaya mengalahkan gagasan Pakatan Harapan dan Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Malah, formula tersebut jelas terbukti di sabah apabila kemenangan berpihak kepada GRS untuk membentuk kerajaan baharu di negeri terbabit. — DayakDaily