Pergerakan Pemuda PBB sokong penubuhan parti gabungan Sarawak

Fazzrudin (dua kanan) bertemu dengan peniaga di Bazar Ramadan Semarak.

KUCHING, Mei 18: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong cadangan Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mengkaji semula kedudukan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Pemuda PBB, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pergerakan Pemuda juga berdiri teguh dengan cadangan Abang Johari yang merancang untuk membentuk satu parti gabungan Sarawak dalam masa terdekat.

“Kita dalam Pemuda PBB akan sokong 100 peratus cadangan serta keputusan daripada beliau (Abang Johari).


“Ini kerana, PBB sebagai parti tempatan lebih memahami kehendak dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya di sini hari semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menambah, apa yang penting sekarang ialah meraih kembali kepercayaan daripada rakyat akat umbi.

Katanya, perkara mustahak yang perlu sekarang ialah kerjasama daripada kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) agar semua yang dirancang akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“PH perlu diberi peluang untuk mereka membuktikan dan menunaikan manifesto yang ditetapkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu,” ujarnya lagi.

Rabu lalu, Abang Johari dipetik sebagai berkata, PBB akan mengkaji semula kedudukan parti tersebut dalam BN selain merancang untuk membentuk satu parti gabungan Sarawak.

Jelasnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan tiga presiden parti komponen BN lain iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi membincangkan hala tuju parti asal Sarawak demi kepentingan rakyat di Bumi Kenyalang.

“PBB tidak akan menyertai PH, namun menjadi parti yang mesra dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini.

“PBB akan kekal strategik dan bebas untuk meneruskan peranan melindungi kepentingan negeri ini sebagai berasaskan gabungan parti Sarawak,” katanya. — DayakDaily