Awang Tengah: Sarawak terus kerjasama dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

LAWAS, Mei 18: Rakyat di negeri ini perlu menerima hakikat bahawa kepimpinan kerajaan persekutuan kini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas adalah jelas dan nyata.

“Meskipun Sarawak kini negeri pembangkang, kita tetap bekerjasama dengan kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh PH.

“Ini kerana, berdasarkan Perlembagaan, kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab dalam membantu rakyat di negara ini termasuk di Sarawak,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu, kerajaan negeri akan memantau janji-janji yang digariskan PH dalam manisfesto PRU14.

Katanya, walaupun Sarawak tidak sebahagian daripada kerajaan PH, tetapi banyak kerja dan tanggungjawab yang perlu dilakukan bersama.

“Kita sedia bertemu dan berbincang dengan kerajaan persekutuan. Ini sikap kita sebagai parti pembangkang kerana kita mahu pelihara hubungan demi rakyat kita,” ujarnya lagi.

Keputusan PRU14 lalu menyaksikan PH, perikatan empat parti yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mencapai impian mustahil apabila merangkul kemenangan pilihan raya bersejarah yang menyaksikan buat pertama kalinya peralihan kuasa di kerajaan persekutuan.

Pakatan itu meleraikan cengkaman gabungan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) ke atas kerajaan sejak Merdeka, dan mengangkat semula Dr Mahathir ke tampuk pemerintahan, 15 tahun selepas dia mengundur diri.

PH berjaya merangkul 112 kerusi, memberikan majoriti mudah daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Ini akan termasuklah lima kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah, sekutunya di Sabah. — DayakDaily