Penyu Agar kembali bertelur di Golden Beach selepas 20 tahun

Telur penyu yang dijumpai di Golden Beach-Taman Negara Similajau.

Oleh Chris Bishop

BINTULU, 8 Julai: Pasukan D Drift DayakDaily yang membuat tugasan di Golden Beach-Taman Negara Similajau pada semalam menemui sejumlah 67 biji telur Penyu Agar.

Umum mengetahui bahawa Taman Negara Similajau merupakan kawasan pendaratan spesis Penyu Agar untuk bertelur khususnya di Turtle Beach 1 dan 2.


Tetapi ia tidak mudah untuk menemui telur ini kerana kita bersaing dengan pemangsa lain seperti biawak dan babi hutan yang menghuni kawasan tersebut.

Penemuan ini dijayakan bersama kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang diketuai Pengurus Wilayahnya Nickson

“Di sana kelihatan bekas pendaratan penyu, ia sudah pasti penyu tersebut bertelur, ” kata jurumudi bot SFC Mohd Hapni Zaini yang membuat tinjauan dari atas bot.

Perjalanan kami dari Jeti Taman Negara Similajau yang memakan masa 20 minit menggunakan bot ke Golden Beach terus menuju berhampiran kesan pergerakan penyu di pantai.

Hapni, 46, yang memiliki kepakaran terus menjejak kawasan sebenar penyu bertelur berdasarkan kesan pendaratannya.

Dengan sebatang kayu lurus kecil sepanjang 4 kaki, Hapni terus menjalankan tugas dengan harapan bahawa telur ini ditemui.

Beberapa kawasan berhampiran kesan pendaratan terus diperiksa, dicucuk dengan kayu namun tiada berhasil.

“Inilah kawasannya, di sinilah telurnya kerana timbunan pasir ini lembut kita mulakan pengalian,” kata Hapni.

Hapni menggali pasir yang dipercayai tempat Penyu Agar bertelur.

Sememangnya tepat, setelah 10 minit pengalian secara berhati-hati, objek putih kelihatan di bawah timbunan pasir dan adalah telur penyu.

“Gembira serta teruja dengan penemuan ini, ia sangat unik dan merupakan satu rekod setelah 20 tahun tiada penemuan telur penyu di Golden Beach.

“Dan lebih menggembirakan, kita bersama pasukan media DayakDaily.

“Sebelum ini, penyu-penyu hanya bertelur di Turtle Beach 1 dan 2,” kata Nickson.

Seterusnya, perlahan-perlahan Hapni mengeluarkan 67 biji telur yang tertimbus dan hanya 2 biji pecah secara tidak sengaja.

Menurut Hapni yang telah berkhidmat selama 20 tahun bersama SFC, Penyu Agar telah bertelur di situ pada malam sebelumnya.

Katanya, sangat bernasib baik kerana telur telah ditemui pasukan SFC sebelum ketibaan pemangsa seperti biawak dan babi hutan.

Dalam pada itu, Nickson berkata kesemua telur ini akan dibawa ke Taman Negara Similajau untuk proses pengeraman.

Katanya, proses pengeraman mengambil masa 48 hari dan dijangkakan menetas pada awal September ini.

“Setelah itu, kita akan melepaskan semua anak-anak penyu ini ke laut,” ujar Nickson. — DayakDaily