Sampah, botol plastik cemari keindahan pantai di Taman Negara Similajau

Pihak SFC bersama pasukan DayakDaily melakukan kerja mengumpul sampah di Turtle Beach 1.

Oleh Chris Bishop

BINTULU, 8 Julai: Sampah yang mencemari keindahan pantai di Taman Negara Similajau bagaikan satu isu yang tiada penyelesaiannya.

Sampah ini yang kebanyakannya merupakan bekas botol plastik datang dari Bandar Bintulu termasuk dari loji-loji besar di sekitarnya.


Ia dihanyutkan oleh beberapa sungai di bandar tersebut ke laut dan seterusnya menghuni pantai Turtle Beach 1 dan 2 serta Golden Beach.

“Masalah ini wujud sekian lama, menjejaskan keindahan pantai di sini.

“Botol botol plastik ini hanyut di bawa gelombang yang seterusnya berakhir di pantai,” ujar Pengurus Wilayah Sarawak Forestry Corporation (SFC) Nickson Joseph Robi.

Beliau yang ditemui DayakDaily semalam berkata, pihak SFC telah melaksanakan kerja-kerja mengumpul sampah ini 4 kali sebulan bagi mengurangkan longgokan di sepanjang pantai.

Namun katanya, botol-botol plastik ini kembali mencemari pantai yang juga turut menganggu usaha pemuliharaan Penyu Agar.

“Pada minggu lepas, pihak kami mengumpul sebanyak 150 kilogram sampah ini di sepanjang pantai.

“Maknanya, dalam tempoh sebulan kita mengumpul lebih kurang 600 kilogram sampah,” ujar Nickson.

Tambah beliau lagi, SFC turut mengadakan gotong royong bersama syarikat syarikat besar di sekitar Bintulu melaksanakan kerja-kerja pembersihan pantai.

Pasukan DayakDaily pada semalam turut membantu SFC mengumpul sampah ini di Turtle Beach 1. — DayakDaily