Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Mukah-Selangau

Motosikal yang ditunggangi mangsa terbabas ke kiri jalan.

MUKAH,25 Okt: Seorang lelaki  maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Mukah-Selangau, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 7.30 malam ketika mangsa yang berusia 30 tahun dan berasal dari Rumah Landas, Jalan Selangau-Mukah dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mangsa bagaimanapun dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kiri jalan dan mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di rusuk kanan.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh kakitangan perubatan Klinik Kesihatan Selangau.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.
Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily.