Penunggang motosikal maut, kamalangan di Batu Kawa

Impak kemalangan menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya di tempat kejadian.

KUCHING, 21 March: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Batu Kawa-Jalan Ketitir lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Katanya, kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam.


“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal bergerak dari arah MJC tiba-tiba membelok masuk ke Jalan Ketitir menyebabkan dia dirempuh sebuah MPV yang bergerak lurus dari arah Kuching ke MJC.

“Impak kemalangan menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya lalu diseret ke bahu sebelah kiri jalan raya.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat yang ketika itu berwarna merah di laluannya.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Anthony Hiu Kuet Boo berusia 53 tahun dan beralamatkan dari Jalan Arang, Kuching.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily