Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan di Lubok Antu

Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap kereta.

LUBOK ANTU, 4 April: Seorang wanita disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan tercampak dan dihempap kereta dalam kemalangan kendiri berdekatan simpang ke Lubok Antu, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Rotela Angela Roger semasa kejadian merupakan penumpang sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipercayai terbabas lalu terbalik.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan diterima pada jam 8.40 malam.


“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.24 malam dan didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah laluan bertentangan lalu terbalik ke dalam longkang.

“Akibat dari kemalangan tersebut, seorang wanita (penumpang) telah tercampak keluar sebelum dihempap oleh kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak Bomba menggunakan khidmat kereta tundan bagi mengalih kenderaan yang menghempap mangsa.

“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan KKM.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdapat dua orang mangsa (lelaki) lagi dilaporkan berjaya dikeluarkan sebelum ketibaan pihak Bomba.

“Mereka kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. ā€” DayakDaily