Penternak ayam disyaki edar dadah ditahan

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Julai 23: Polis menahan seorang penternak ayam selepas disyaki terlibat dalam jenayah pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sebuah pondok di Long Tengoa, Trusan, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif, berkata suspek yang berusia 36 tahun itu dicekup pada pukul 6.30 pagi.


Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri, (15) butir peluru warna hijau muda bertulis SG11/0, (7) butir peluru warna hijau tua GB Club, (2) butir peluru warna putih bertulis 11/0-12 pallettoni dan (1) peluru warna merah FIOCCHI Buckshot Cal 410 daripada suspek.

Gambar komposit menunjukkan senapang dan peluru yang dirampas daripada suspek.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu botol plastik warna coklat bertulis Ganilia yang di dalamnya terdapat 25 keratan straw berwarna merah jambu, yang setiap satu keratan mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.42 gram dan nilainya sebanyak RM1,250.

“Suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan dibawa ke pejabat BSJND (Narkotik) Lawas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, siasatan awal mendapati akiviti kegiatan pengedaran suspek bermula pertengahan 2018 di sekitar kawasan setempat. Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Suspek juga ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. —DayakDaily