Penganggur bakal berdepan hukuman mati, disyaki edar dadah

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

MIRI, Julai 23: Seorang penganggur bakal berdepan dengan hukuman mati selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di Waterfront Commercial Centre di sini pada Julai 18 lepas.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata, atas maklumat dan risikan yang dijalankan suspek telah dicekup di tempat parkir kenderaan di pusat komersial itu pada pukul 8.30 malam.


Katanya, hasil pemeriksaan pasukan serbuan menemui 20 papan pil warna merah/perak yang disyaki dadah jenis Nimetazepam seberat 53.30 gram.

“Polis turut menemui satu paket plastik lutsinar di dalamnya mengandungi ketulan-ketulan disyaki dadah jenis ketamine seberat 51.05 gram,” katanya.

Sahar menambah, nilai rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM10,100.

Katanya, suspek ditahan dan dinyatakan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek tiada memiliki sebarang jenayah lampau.

“Suspek kini di dalam proses permohonan reman,” katanya. — DayakDaily