Penjaja, peniaga kecil disaran daftar peniagaan agar elak tercicir daripada peroleh bantuan kerajaan

Naroden (duduk tengah) bersama Datu Len Talif Salleh (duduk kiri) ketika sidang media selepas sesi soal jawab Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini (11 Nov, 2020).

KUCHING, 11 Nov: Penjaja dan peniaga kecil perlu mendaftarkan peniagaan mereka dengan pihak berkuasa tempatan atau pejabat daerah bagi membolehkan mereka mendapat bantuan kewangan ketika pandemik Covid-19

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, tidak dapat dinafikan peniaga kecil yang tidak mempunyai syarikat atau permit berniaga masih boleh melakukan aktiviti peniagaan mereka namun situasi itu tidak akan membolehkan mereka untuk mendapat bantuan kewangan yang di sediakan kerajaan seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Untuk manfaatkan bantuan kewangan sekurang-kurangnya mereka harus memiliki permit daripada pihak berkuasa tempatan, sebaik-baiknya lagi mereka mendaftarkan syarikat dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pejabat daerah, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media selepas sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.


Beliau menggesa persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil kawasan serta wakil rakyat untuk menerangkan kepada setiap peniaga kecil atau penjaja kecil ini kepentingan memiliki sekurang-kurangnya permit peniaga daripada pihak berkuasa tempatan sebelum menjalankan aktiviti peniagaan mereka.

“Ini penting agar golongan ini tidak terkecuali dalam mendapat bantuan daripada kerajaan untuk kelangsungan peniagaan mereka terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang berada pada gelombang ketiga pada ketika ini,” katanya.

Datuk Mohd Naroden Majais

Menurut Naroden, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk skim microkredit untuk perusahaan kecil dan serdehana menerusi BKSS untuk usahawan selain penangguhan selama sembilan bulan pembayaran Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) serta Skim Mikro Kredit Sarawak (SMCS) iaitu bermula Mac hingga Disember ini.

“Selain itu kerajaan Sarawak turut memberikan subsidi faedah selama 3.5 tahun untuk SPIKS dan SMCS serta geran khas berjumlah RM2,250 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya

Naroden berkata, Sarawak telah melantik tujuh buah bank bagi memproses subsidi faedah yang diberikan kerajaan negeri menerusi Tabung Bantuan Khas BKSS 2.0 .

Bagaimanapun, kerajaan akan mempertimbangkan lebih banyak bank untuk dibenarkan memproses Subsidi Faedah tersebut di masa hadapan memandangkan terdapat penerima yang layak buka pelanggan kepada tujuh bank dipilih sebelum ini, kata beliau. — DayakDaily