Adun Tupong: Cadangan tubuh jawatankuasa pantau Petros, bagaikan tidak yakin sistem perundangan

Fazzrudin Abdul Rahman

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Nov: Cadangan penubuhkan Jawatankuasa khas DUN bagi memantau aktiviti Petros oleh Adun Kota Sentosa Chong Chieng Jen mencerminkan ketidakyakinan beliau (Chong) terhadap sistem perundangan sedia ada, tegas Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurut Fazzrudin, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) ditubuhkan di bawah Akta Syarikat dan tertakluk kepada perundangan di bawah akta berkenaan.

Katanya, objektif utama lembaga pengarah dan kakitangannya seperti mana-mana syarikat-syarikat lain adalah untuk membuat keuntungan.

“Keuntungan bakal dirasai oleh pemegang-pemegang saham dan pemegang sahamnya adalah kerajaan negeri.

“Maka ini akan menjadi pendapatan kerajaan yang bakal di rasai pula oleh rakyat Sarawak,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan
Negeri (DUN) di sini hari ini.

Justeru, Fazzrudin hairan dengan tindakan Chong yang mengemukakan cadangan agar ditubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau aktiviti Petros.

Cadangan dengan nada fitnah oleh Chong, kata Fazzrudin, bagaikan Petros akan disalahgunakan.

“Beliau (Chong) sudah tidak ada modal dan cuba mencerminkan perspektif negatif terhadap Petros.

“Adakah beliau tidak yakin kepada perundangan yang sedia ada?,” tanya Fazzrudin.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa penubuhan Petros akan membuka ruang dan peluang lebih besar bagi syarikat-syarikat Sarawak untuk turut serta dalam industri minyak dan gas.

Chong yang juga MP Stampin terdahulu berkata, jawatankuasa khas itu akan terdiri daripada sekurang-kurangnya satu Adun dari setiap parti politik.

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan memastikan bahawa kekayaan dari minyak dan gas yang dihasilkan melalui Petros akan diedarkan setiap hari dan sama rata kepada rakyat Sarawak. — DayakDaily