ADUN Murum: 3,000 keluarga baharu di BRS Sg Asap perlu lot perumahan

Kennedy Chukpai Ugon - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Nov: Kadar pertambahan penduduk yang semakin meningkat di Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap perlu penyelesaian segera oleh kerajaan.

Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, masalah tersebut kini semakin merunsingkan dan lot perumahan baharu harus disediakan segera.


“Masalah pertambahan penduduk di BRS Sungai Asap kini semakin merunsing dan perlu perhatian serius oleh kerajaan.

“Lot perumahan harus disediakan bagi 3,000 keluarga baharu di 15 buah panjang BRS Sungai Asap.

“Permohonan untuk lot perumahan telah dikemukakan kepada kerajaan dan harap dapat dipertimbangkan dalam kadar segera demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menyokong Rang undang-Undang Perbekalan (2020), 2021 dan Usul untuk mewrujuk Resolusi Anggaran Pembangunan bagi Perbelanjaan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain itu, tambah Chukpai, kerajaan juga dipohon untuk menyediakan peruntukan khas bagi membaikpulih rumah-rumah kediaman di 15 buah kampung di BRS Sungai Asap.

Katanya, keadaan rumah-rumah tersebut pada masa kini semakin uzur dan perlu dibaikpulih dengan segera.

Dalam pada itu, Chukpai berkata pembentukan tiga agensi pembangunan di kawasan pendalaman di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) telah mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar.

Menerusi Agensi Pembangunan Hulu Rajang (Urda), jelas Chukpai, projek pembangunan termasuklah kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air terawat dan bekalan elektrik telah dilaksanakan.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat kawasan-kawasan di DUN Murum yang belum lagi menikmati kemudahan asas ini seperti di Jelalong, Tubau, Sg Asap, Sg Belaga, Long Urun, Metalun, Tegulang dan Sg Linau.

“Ini disebabkan kawasan Murum yang sangat luas dengan keluasan 10,645km persegi yang tentunya memerlukan pruntukan besar,” ujar beliau. — DayakDaily