Penjaja kecil Pasar Minggu Lutong ingkar patuhi arahan PKPB

Keadaan di Pasar Minggu Lutong (bangunan baru) kelihatan beberapa anggota penguatkuasa dan polis menghampiri penjaja kecil yang bertindak menjalankan aktiviti perniagaan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Jan: Tindakan beberapa penjaja kecil menjalankan perniagaan seperti biasa di Pasar Minggu Lutong (bangunan baru) telah mengundang keresahan orang ramai, walaupun terdapat notis pemberitahuan penutupan operasi sementara bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 13 Januari.

Penutupan sementara itu dilakukan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.


Tinjauan dilakukan awal pagi ini (24 Januari) di pasar minggu berkenaan mendapati lima penjaja menjalankan perniagaan seperti biasa tanpa menghiraukan notis penutupan sementara yang diletakan oleh pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) di hadapan bangunan tersebut.

Manakala, sembilan penjaja yang lain kelihatan beroperasi di kawasan kaki lima di luar bangunan lama Pasar Lutong.

Difahamkan, penjaja kecil ini memulakan operasi sekitar jam 7 pagi.

Tindakan mereka telah mengundang kehadiran anggota penguatkuasa dari MBM bersama anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Amaran secara lisan dan nasihat telah diberikan kepada penjaja kecil ini agar tidak melanggar perintah PKPB.

Beberapa penjaja yang ditemu, menyatakan sejak PKPB ini dilaksanakan, aktiviti ekonomi mereka terjejas teruk.

“Kami tidak ada jalan lain, maka sebab itu, kami meneruskan juga aktiviti ini di sini,” ujar salah seorang penjaja yang ditemui.

Sementara itu, Datuk Bandar Miri Adam Yii ketika dihubungi mengingatkan penjaja kecil di kawasan tersebut agar mematuhi perlaksanaan PKPB dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Saya percaya, dengan adanya bantuan khas untuk peniaga dan penjaja kecil yang terkesan akibat Covid-19, dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka semasa PKPB,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kerjasama semua pihak amat penting dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. — DayakDaily