11 PATI diusir, termasuk lima kanak-kanak

PATI yang ditangkap dan diusir keluar.

BAU, 24 Jan: Lima kanak-kanak antara 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir keluar selepas ditangkap cuba memasuki negeri ini melalui jalan yang tidak sah semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata tangkapan dibuat dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di daerah tersebut.

“Polis berjaya menangkap seramai enam lelaki dan lima perempuan warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.


“Tangkapan warga Indonesia tersebut dibuat pengusiran ke sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, terdapat empat saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan-kesalahan lalu lintas.

Tambahnya juga, operasi seumpama itu akan dibuat di masa-masa hadapan dan masyarakat diseru agar sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras jenayah.

“Dengan adanya kerjasama dari semua pihak dan masyarakat di Daerah Bau khususnya akan dapat menyumbang kepada keamanan dan keharmonian.

“Operasi ini bukan sahaja bertujuan mencegah jenayah tetapi untuk mengesan dan mengekang kemasukkan PATI ke negara ini,” katanya.