Peniaga wanita rugi RM30,460 ditipu kes pinjaman tidak wujud

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 1: Sebanyak 220 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan di Sarawak sepanjang tahun lepas, melibatkan jumlah kerugian melebihi RM1.5 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Februari 2019 pula sebanyak 31 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan, yang melibatkan jumlah kerugian RM212,639.


Jelasnya, sebanyak 39 tangkapan telah dibuat pada tahun 2018 dan pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini pada tahun ini.

“Semalam (28 Februari), satu kejadian terbaru dilaporkan di Miri melibatkan seorang peniaga wanita yang kerugian RM30,460.

“Berdasarkan laporan diterima, pada Februari 15, mangsa yang berusia 47 tahun telah menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp dari nombor telefon 014-2118248 menawarkan pinjaman wang dari sebuah syarikat.

“Mangsa kemudian bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000 dan telah dikehendaki membuat beberapa transaksi melalui mesin ATM CIMB Cawangan Boulevard Miri bagi urusan pemprosesan bagi pinjaman duit RM100,000 tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa yang terdesak dan terpedaya telah membuat lima transaksi di antara tarikh Februari 16-28 ke akaun Cimb Bank suspek berjumlah RM30,460.

Katanya, selepas pembayaran tersebut, mangsa masih juga tidak dapat duit pinjaman RM100,000 tersebut.

“Mangsa sedar dirinya telah ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas itu.

Jumlah kerugian mangsa adalah sebanyak RM30,460,” katanya. — DayakDaily